Feel It

Monday, 26 May 2014

Futsal Piala Kindness - 23 Pasukan Anak Yatim Berentap Merebut PialaKindness 2014





Kenyataan Media  

23 Pasukan Anak Yatim Berentap Merebut Piala Kindness 2014  

KUALA LUMPUR, 5 April 2014 – Kindness Dot My (Kindness) dengan sokongan Dana Belia 1Malaysia serta kerjasama Chelsea Soljabiru, Projek Iqra’ dan Gooddeeds Malaysia telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Kindness yang telah berlangsung di Centermart Futsal Center Setapak, Kuala Lumpur. Kejohanan futsal amal ini melibatan 23 pasukan futsal dari rumah-rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Lebih 300 orang anak yatim 150 orang sukarelawan dari Kindness hadir bagi memeriahkan aktiviti kali ini. 
Kejohanan Futsal Piala Kindness ini merupakan kesinambungan dari kejohanan sebelumnya yang pernah dianjurkan oleh Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (2012) dan Badan Kebajikan Siti Khadijah (2009-2011). Tahun ini Kindness mengambil inisiatif untuk menjadi penganjur utama kejohanan futsal amal antara rumah kebajikan ini. Kejohanan ini bertujuan untuk mencungkil bakat para penghuni rumah kebajikan yang kebanyakannya merupakan anak-anak yatim dan miskin dan secara tidak langsung menggalakkan cara hidup yang sihat. 

Setiap rumah kebajikan diuruskan oleh sukarelawan-sukarelawan (pengurus pasukan) terpilih bagi menguruskan latihan dari segi kecergasan dan taktikal, serta mendapatkan tajaan bagi pakaian jersi dan alat keperluan futsal yang lain seperti bola dan kasut futsal. Latihan futsal telah berlangsung lebih dari sebulan bermula di rumah kebajikan sehingga ke perlawanan persahabatan di gelanggang futsal. Pendedahan sebegini memberi peluang kepada penghuni rumah kebajikan untuk lebih berdisiplin dan memupuk semangat kerjasama dalam pasukan. 

Kejohanan futsal ini juga telah menyaksikan tajaan dari lebih 40 syarikat-syarikat kecil yang telah menaja dalam bentuk makanan sehingga ke hadiah untuk pemenang. Tajaan sebegini memberi peluang kepada syarikat-syarikat kecil untuk melebarkan penjenamaan produk dan servis mereka kepada masyarakat umum. 

Sesuai dengan slogan Kindness, “Dari Semua Untuk Semua”, lebih 150 orang sukarelawan telah terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan kejohanan Futsal Piala Kindness ini. Setiap sukarelawan telah diberi tugas masing-masing dari pengurusan kejohanan futsal, pencarian dana, pengurusan rumah kebajikan, logistik sehingga ke perhubungan media. Para sukarelawan Kindness majoritinya terdiri daripada warga belia bawah 40 tahun dari pelbagai latar belakang yang juga bekerjaya atau mempunyai perniagaan sendiri. Para mahasiswa dan mahasiswi dari institut pengajian tinggi awam dan swasta juga terlibat bagi menjayakan Futsal Piala Kindness. 

Harapan pihak penganjur agar kejohanan futsal amal ini dapat dilaksanakan setiap tahun fokus kepada warga penghuni rumah kebajikan. Bermula di Kuala Lumpur dan sasarannya adalah untuk mengembangkan ke rumah-rumah kebajikan di negeri-negeri yang lain. Pihak Kindness amat mengalu-alukan sebarang kerjasama dan tajaan bagi projek amal sebegini dan juga projek-projek kebaikan yang lain sejajar dengan misi Kindness iaitu menyebarkan dan melaksanakan kebaikan tidak kira tempat, lokasi atau pada sesiapa pun. 

Keputusan Futsal Piala Kindness 

Kategori Lelaki 

Johan: Ijabah FC dari Yayasan Ijabah, Subang (RM2000) 

Naib Johan: Rumah Perlindungan Siddhartan (RM1000) 

Tempat ketiga: Rumah Kasih Harmoni, Rawang (RM800) 

Kategori Perempuan 

Johan: KL Krashpad, Chowkit (RM2000) 

Naib Johan: ASDAF A (Asrama Darul Falah) (RM1000) 

Tempat ketiga: ASDAF B (RM800) 


Pengarah Program: Muhammad bin Kamarulazizi (Pengasas Kindness Dot My) 

Tel: 0183800961 


Facebook: www.facebook.com/kindness.my



 




No comments:

Post a Comment